Press Articles

Title: Undang-undang Tak Bermakna Tanpa Tindakan Tegas, Titah Raja Nazrin
Date: 08-Jun-2006
Category: River Care Programme
Source/Author: Bernama

KUALA KANGSAR, 8 Jun (Bernama) -- Undang-undang dan peraturan bagi membendung dan mengatasi masalah pencemaran Sungai Perak tidak akan berkesan tanpa tindakan yang tegas dan bersungguh-sungguh, titah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah hari Khamis.

Baginda bertitah pelbagai kaedah boleh dirumus termasuk meminda undang-undang dan merangka peraturan baru tetapi sekiranya ada pihak yang tidak bertanggungjawab dan adil, ia boleh menggagalkan usaha mengurus sungai secara bersepadu.

"Sungai Perak kini semakin mengalir lesu. Sungai Perak bagaikan menghadapi hukuman untuk dimusnahkan. Kemusnahan yang berlaku berpunca dari perbuatan manusia, sama ada secara sedar atau kurang sedar, secara sengaja atau tidak sengaja. Kealpaan, kenaifan, ketidaktelitian, ketidakbijaksanaan, kurang kearifan manusia, adalah antara punca berlakunya kemusnahan," titah baginda ketika merasmikan Bengkel Pengurusan Bersepadu Sungai Perak di Resort Sungai Perak di sini.

Pencemaran Sungai Perak menjadi lebih teruk apabila ia berpunca daripada sikap tamak dan sombong pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengejar kekayaan secara pantas, titahnya.

Titahnya ia sekaligus mencemarkan kualiti air Sungai Perak dan memusnahkan kekayaan biodiversiti yang ada di sungai berkenaan.

Baginda bertitah pencemaran Sungai Perak yang berlaku akibat sikap manusia yang tidak menghargai peranan dan jasa sungai, bukan sahaja membawa keburukan kepada manusia sendiri tetapi juga kehidupan lain.

"Nasib malang yang menimpa sungai ini tidak berakhir pada dirinya sahaja, malah sungai ini tidak lagi dapat menjadi alam dan taman kehidupan air, lalu pupuslah tumbuhan, lupuslah ikan dan musnahlah reptilia yang di satu masa dahulu memberi nikmat kepada manusia secara lebih berkekalan dan berkesinambungan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah semua pegawai penguat kuasa dari agensi yang bertanggungjawab seharusnya tegas, berani, telus dan jujur bagi membanteras dan menghukum mereka yang bersalah sehingga memusnahkan alam sekitar.

Baginda bertitah sungai adalah anugerah Tuhan yang sangat bernilai kepada kehidupan alam iaitu sejak bermulanya peradaban, sungai berperanan penting mempengaruhi dan mencorakkan pembangunan sesuatu budaya dan sesebuah negara.

Sungai Perak yang bermula di Ulu Belum, Banjaran Titiwangsa mengalir ke muara di Beting Basah terus ke Selat Melaka itu mempunyai kepanjangan 450 kilometer dan merupakan sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia.

Baginda turut berharap bengkel anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran Perak itu dapat mengadakan satu mekanisme yang merangkumkan penyelarasan, kerjasama dan penguatkuasaan antara sektor tanpa mengira politik dan pentadbiran.

Kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan orang awam haruslah ditekankan bagi memastikan Lembangan Sungai Perak dapat diurus dengan sempurna supaya dapat dipulihkan dan kembali dalam keadaan baik daripada segi fizikal, kandungan dan persekitarannya, titah baginda.

[ Back ] [ Print Friendly ]