Press Articles

Title: Tasik Kelana Jaya "Sakit"
Date: 10-Feb-2009
Category: River Care Programme
Source/Author: Cik Rosma Che Abu Bakar - Utusan Malaysia
Description: Menyaksikan panorama alam yang indah dengan lokasi yang strategik pasti membuatkan warga kota teruja untuk ke sana.

Tasik Kelana Jaya 'sakit'

PERMUKAAN air Tasik Bandaran Kelana Jaya diselaputi minyak dan dipenuhi kotoran.

 

KELANA JAYA 8 Feb. - Menyaksikan panorama alam yang indah dengan lokasi yang strategik pasti membuatkan warga kota teruja untuk ke sana.

Apatah lagi setelah seharian penat bekerja, peluang ini pasti direbut oleh setiap keluarga untuk beriadah sambil melakukan hobi mereka.

Kedudukannya yang strategik iaitu berhampiran dengan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) menjadikan Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya antara kawasan rekreasi yang kerap dikunjungi warga kota.

Bagaimanapun, tasik ini kelihatan sudah tercemar.

Kedudukannya yang berhampiran dengan loji kumbahan najis mungkin telah mengubah kualiti air di dalamnya.

Sebelum ini, dikatakan sistem saliran loji kumbahan tersebut disalurkan ke tasik namun telah ditutup oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Namun kualiti air tasik seakan tiada perubahan.

Pengunjung masih dapat menghidu bau busuk yang menyusuk hidung.

Bukan sekadar bau, malah air tasik turut dilitupi sampah sarap yang datang dari sistem perparitan perumahan terdekat yang mengalirkan air terus ke dalam tasik.

Longgokan botol kosong, tin minuman, kertas-kertas, sisa makanan dan barangan terbuang menyebabkan air tasik kelihatan seperti tempat pelupusan sampah.

Akibatnya, air kelihatan berminyak, tidak dapat mengalir dengan sempurna sekali gus menyebabkan ia semakin busuk.

Walaupun terdapat jaring perangkap sampah disediakan, namun ia gagal berfungsi dengan berkesan.

Masih terdapat banyak sampah yang mengalir ke dalam tasik yang menyebabkan keadaan bertambah teruk.

Untuk makluman, tasik ini kelihatan amat cantik jika dilihat dari arah pasar raya Giant Kelana Jaya yang boleh membuatkan orang ramai berminat untuk melihat dengan lebih dekat.

Keindahan seni taman yang menghijau pasti membuatkan jiwa terasa tenang sambil bersantai bersama keluarga.

Malah, pengunjung juga boleh memanfaatkan hujung minggu dengan melakukan senaman menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Antara alat senaman yang disediakan ialah alat senaman multifunction, leg pause, double flexi walk, double mini taichi, dan space walk.

Selain itu terdapat alat double up down pull, up down kick, serta body twist tri.

Setiap alat senaman ini disediakan satu papan rujukan yang tertulis cara menggunakannya dengan betul bagi memudahkan pengunjung.

Terdapat juga ruangan untuk kanak-kanak bermain dengan dilengkapi kemudahan-kemudahan yang lengkap dan menarik.

Selain itu, terdapat beberapa gerai makan yang menjual pelbagai juadah kepada pengunjung.

Namun, kebanyakan keluarga lebih gemar membentangkan tikar dan membawa bekalan sendiri sambil berkelah di sekeliling tasik dalam suasana yang santai dan redup.

Bagi kaki pancing pula, tasik ini merupakan salah satu lokasi yang paling strategik dan dikatakan lubuk bagi ikan talapia.

Untuk memancing di sini, pemancing hanya perlu membayar RM15 sebulan dan akan menerima sekeping pas untuk dua batang pancing.

Sama ada untuk bersukan, bersenam, berkelah mahupun untuk si kaki pancing, tasik yang terletak di Bandar Bunga Inai Merah ini pasti menjadi tumpuan ramai.

Kawasan tasik yang luas ini, amat sesuai dikunjungi bagi menghabiskan hujung minggu bersama keluarga.

[ Back ] [ Print Friendly ]