Press Articles

Title: 10.000 pokok bakau ditanam
Date: 23-May-2009
Category: Forest and Wetland Conservation Programme
Source/Author: Utusan Malaysia: AZMAN MD NOOR
Description: KERIAN 22 Mei - Kira-kira 300 pelajar dari empat sekolah di Kedah dan Pulau Pinang menanam hampir 10,000 pokok bakau sempena Hari Biodiversiti di kawasan paya laut Kuala Gula di sini hari ini.

KERIAN 22 Mei - Kira-kira 300 pelajar dari empat sekolah di Kedah dan Pulau Pinang menanam hampir 10,000 pokok bakau sempena Hari Biodiversiti di kawasan paya laut Kuala Gula di sini hari ini.

Program itu anjuran Kelab Pencinta Alam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan, Baling dengan kerjasama Sahabat Hutan Bakau (SHB) Kuala Gula dan Global Environment Centre (GEC) bertujuan mendedahkan pelajar kepada aktiviti alam sekitar.


SEBAHAGIAN 300 pelajar yang terlibat dalam program penanaman pokok bakau anjuran Environment Online (ENO) di Kuala Gula, Perak, semalam.

Penyelaras program, S. Kalaimani berkata, program penanaman dilakukan serentak dengan 1,200 sekolah di Indonesia yang aktif dan berdaftar dengan badan antarabangsa Environment Online (ENO).

Katanya, tiga sekolah di Kedah iaitu SMK Teloi Kanan, SMK Dato' Bijaya Setia di Sungai Petani dan SMK Pulau Nyior, Jitra serta sebuah dari Pulau Pinang, SMK Batu Kawan terlibat dalam program kali ini.

"Kawasan paya laut di Kuala Gula ini mempunyai kawasan tanah kosong hampir 500 hektar yang memerlukan penanaman pokok bakau di kawasan itu sebagai zon penampan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kalaimani berkata, meskipun para pelajar terpaksa menaiki bot untuk ke kawasan paya laut tersebut, namun mereka tetap bersemangat bagi memastikan ia dipenuhi pokok bakau sempena kempen berkenaan.

Katanya, kesungguhan pelajar terbabit meredah lumpur bagi menanam pokok bakau perlu dicontohi pelajar lain dan memberi kesedaran kepada pelbagai pihak dalam menjaga dan memulihara kawasan itu.

Beliau yang juga Penyelaras ENO bagi kawasan Asia berkata, kempen penanaman bakau dilakukan bagi menjaga hidupan laut seperti ketam, kerang dan ikan agar tidak terjejas.

"Pemuliharaan kawasan itu akan diteruskan walaupun jarak antara sekolah agak jauh bagi membantu mengekalkannya," ujar beliau.

[ Back ] [ Print Friendly ]