Press Articles

Title: Pelestarian sungai
Date: 01-Oct-2010
Category: River Care Programme
Source/Author: Berita Harian: Oleh Khairunnisa Kamarudin
Description: PROGRAM Pelestarian dan Pemulihan Sungai Penchala, memberi pendedahan awal kepada generasi muda terutama pelajar mengenai pentingnya penjagaan sungai sebagai sumber air bersih,

Pelajar, kakitangan kerajaan, penduduk sertai program

PROGRAM Pelestarian dan Pemulihan Sungai Penchala, memberi pendedahan awal kepada generasi muda terutama pelajar mengenai pentingnya penjagaan sungai sebagai sumber air bersih,

Aktiviti bersama Global Environment Centre (GEC), Novozymes Sdn Bhd, DBKL serta Jabatan Pengairan dan Saliran, dijayakan 150 pelajar, kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan penduduk sekitar Taman Tun Dr Ismail.

Pengarah GEC, Faizal Parish, berkata selain membersihkan kawasan sekitar, peserta diberi pendedahan pentingnya penjagaan sungai sebagai sebahagian usaha menjaga alam sekitar.

Aktiviti julung kalinya diadakan itu kata beliau, diharap memberi maklumat berguna kepada masyarakat supaya mereka lebih peka dan sama-sama mengekalkan kebersihannya.

"Pelajar ialah golongan sasar dalam setiap program alam sekitar. Mereka pelapis generasi akan datang yang bakal meneruskan kesinambungan menjaga keharmonian alam.

"Mereka juga bertanggungjawab mendidik generasi seterusnya bagi memastikan usaha murni ini berterusan untuk kesejahteraan masyarakat setempat," katanya.
Faizal berkata, kebanyakan sungai di negara ini terutama di Lembah Klang mengalami pencemaran teruk. Keadaan itu berpunca daripada sikap tidak ambil peduli masyarakat mengenai kepentingannya.

Katanya, Hari Sungai Sedunia 2010, yang disambut pada 26 September setiap tahun akan dimanfaatkan untuk aktiviti sedemikian.

Pada program itu, Faizal berkata, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu membersihkan sungai serta menanam pokok, pemetaan sungai dengan mengenal pasti punca pencemaran, manakala sekumpulan pelajar dibimbing mengenai pendidikan mengenai sungai.

Beliau berkata, peserta didedahkan mengenai spesies pokok sesuai ditanam di lokasi berkenaan antaranya keladi air, rumput paya dan ekor kucing. Spesies berkenaan berupaya menguatkan benteng selain lebih bersifat semula jadi berbanding konkrit.

Peserta, Azmal Azlan, pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail, gembira kerana berpeluang mengikuti program yang begitu bermanfaat.

"Saya dibesarkan di bandar dan jarang mendapat peluang ke sungai. Program ini menggembirakan saya selain dapat menambah ilmu.

"Kami diajar mengenai bagaimana mengukur kebersihan sungai dan apa yang perlu dibuat untuk membersihkan sungai.

"Selain itu, saya dapati punca Sungai Penchala ini sangat bersih dan kami diberitahu airnya selamat diminum," katanya.

Rakannya, Nik Syakir Nik Murat, 16, berkata program seumpama ini patut sentiasa dianjurkan bagi membolehkan lebih ramai pihak memanfaatkannya.

 

 

[ Back ] [ Print Friendly ]