Press Articles

Title: Banjaran Meliau Terbentang Luas Untuk Diterokai
Date: 10-Sep-2004
Category: Forest and Wetland Conservation Programme
Source/Author: Bernama: Lizawati Bahanan
Description: SANDAKAN, 10 Sept (Bernama) -- Kerja penyelidikan, terutama yang membabitkan aneka flora dan fauna di hutan tropika negara ini menuntut kesabaran yang tinggi di kalangan mereka yang terbabit.

Selain harus peka dengan sensitiviti alam semulajadi, penyelidik juga terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan bersifat kreatif dalam menangani sasaran, terutama sesetengah haiwan, unggas dan serangga yang hendak diselidiki.

Pengalaman seumpama itulah yang dilalui oleh sekumpulan 60 orang penyelidik terdiri daripada kakitangan dan pelajar Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah (IBTP UMS), Taman Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah (SBC) dan Pusat Kajian Perhutanan Sabah (FRC) pada ekspedisi penyelidikan fasa kedua ke atas aneka spesis flora dan fauna di Hutan Simpan Banjaran Meliau di Ulu Tungud, Sandakan baru-baru ini.

Penyelidikan selama 12 hari bermula 9 Ogos itu ditaja oleh Keindanren Nature Conservation Fund (KNCF) dari Jepun, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah (SFD), Global Environment Centre (GEC) dan TSH Resources Berhad. Kawasan kajian seluas 5,203 hektar yang berada pada ketinggian kira-kira 4,000 kaki daripada aras laut di bahagian barat banjaran berkenaan terletak kira-kira tiga jam perjalanan kenderaan pacuan empat roda dari bandar Sandakan.

Sasaran kajian kumpulan berkenaan meliputi pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemui atau endemik kepada kawasan tertentu, selain hidupan seperti lumut, burung, reptilia, amphibia, mamalia dan serangga. Selain itu kajian juga membabitkan aspek perubatan tradisional berasaskan tumbuhan-tumbuhan liar dan serangga yang digunakan penduduk tempatan.

BANJARAN MELIAU KHUSUS UNTUK PENYELIDIKAN

Pegawai Penyelidik FRC Anuar Mohd selaku penyelaras ekspedisi itu berkata hutan simpan di sekitar Banjaran Meliau seluas 33,135 hektar itu dipilih kerana ia tidak dibuka kepada pelancong dan dikhususkan hanya sebagai kawasan penyelidikan.

Penyelidikan di banjaran itu benar-benar menguji kesabaran peserta kerana proses pengumpulan spesimen, terutama yang membabitkan hidupan, biasanya agak rumit dan mengambil masa yang lama sehingga ada kalanya penyelidik terpaksa memasang perangkap dan meletakkan pelbagai umpan.

Yang menarik tentang proses itu ialah sesetengah hidupan yang menjadi sasaran seolah-olah telah dapat "menghidu" kehadiran penyelidik sehingga sering kali menimbulkan kekecewaan kerana spesimen yang dikehendaki gagal diperolehi. Pada ekpedisi kali ini ada penyelidik yang terpaksa berjaga dan berembun sepanjang malam dan sesetengahnya pula terpaksa meredah belukar dan berendam di dalam air Sungai Meliau yang mengalir di celah-celah banjaran berkenaan.

Namun keindahan alam semulajadi di sekitar banjaran itu menebus keletihan para penyelidik dan menggantikannya dengan keseronokan. Air sungainya yang amat jernih sudah memadai untuk peserta berendam sambil menghilangkan kepenatan, walaupun arusnya agak deras, manakala berjalan di atas batu-batu kecil di dasarnya ibarat melalui proses fisioterapi yang boleh membantu mengekalkan kesegaran.

FOKUS KEPADA KAJIAN BOTANI

Berbeza dengan ekspedisi Banjaran Meliau fasa pertama yang diadakan sebelum ini, skop penyelidikan para anggota ekspedisi pada kali ini tidak hanya terhad kepada kajian botani dan serangga. Anuar berkata pada fasa yang lepas kawasan yang menjadi tumpuan ialah bahagian timur Banjaran Meliau di mana sebanyak 336 spesis telah dikenalpasti, termasuk 12 yang tergolong dalam kumpulan spesis endemik.

Kajian pada kali ini menunjukkan terdapat sebanyak 13 spesis orkid di kawasan berkenaan termasuk dua spesis yang sukar ditemui di kawasan lain. Pada kajian fasa pertama, sebanyak 40 spesis orkid didaftar, termasuk satu spesis baru. Seorang pesara, Tony Lamb yang turut menganggotai rombongan pada ekspedisi kali ini berkata pada keseluruhannya terdapat sebanyak 1,200 spesis orkid di negeri Sabah iaitu 800 spesis yang boleh ditemui di Taman Kinabalu dan 400 spesis di kawasan-kawasan hutan lain di seluruh Sabah.

Sesuatu yang menarik mengenai kumpulan pengkaji pada kali ini ialah ketekunan serta daya kreativiti mereka dalam mengumpul bahan kajian, dan antara yang mencuri perhatian ialah kumpulan pengkaji semut, kumbang, lumut dan paku pakis.

Kumpulan pengkaji semut terdiri daripada seorang pelajar sarjana di IBTP UMS iaitu Sukarman Sukimin dan seorang Pegawai Penyelidik di institut yang sama iaitu Sarina Mat Amin.

KAEDAH MEMERANGKAP SEMUT

Menurut Sukarman terdapat dua kaedah yang digunakan untuk mendapatkan spesimen semut iaitu kaedah Winkler Bag dan "Lubang Berumpan". Kaedah Winkler Bag memerlukan pengkaji mengumpul sampah-sarap hutan (himpunan tanah dan daun-daun kering) dan memasukkannya ke dalam sebuah beg yang dibuat daripada jaring.

"Jaring ini akan digantungkan di dalam kantung kain berwarna putih yang diletakkan larutan alkohol di bawahnya. Proses ini memakan masa selama 72 jam tetapi setiap 24 jam sekali beg itu perlu diperiksa untuk pastikan semutsemut tersebut keluar daripada sarang dan masuk ke dalam larutan alkohol," katanya.

Sementara itu kaedah lubang berumpan pula memerlukan beberapa jenis umpan digantung pada sebatang aluminium dan bahagian bawahnya akan diletakkan gelas yang mempunyai larutan sabun pencuci untuk membunuh semut-semut sasaran.

Kaedah lain yang digunakan tetapi menuntut lebih kesabaran ialah mencari semut di lubang-lubang pokok dan biasanya semut daripada spesis itu tidak bertindak sebagai pemusnah sebaliknya membantu pokok habitatnya untuk hidup lebih lama kerana tiada serangga lain berani mendekatinya.

Bagi anggota kumpulan yang membuat kajian tentang kumbang pula ada yang memasang perangkap dengan pelbagai umpan dan pada waktu malam pula mereka menggunakan teknik Light Trapping di mana sebidang kain putih dipasang di kawasan lapang dan lampu yang terang dipasang pada bahagian belakang kain untuk menarik perhatian serangga.

HILANG DERIA MELIHAT CAHAYA

Apabila melihat cahaya yang terang itu, kumbang biasanya akan hilang "deria" dan tertumpu hanya pada cahaya itu sehingga ada yang sanggup terbang beratus-ratus kilometer semata-mata untuk "mengejar" cahaya. Kaedah ini dilihat lebih berjaya berbanding kaedah memasang perangkap dan umpan kerana ia mampu mengumpul lebih banyak kumbang daripada pelbagai
spesis.

Dalam himpunan kumbang-kumbang itu, kumbang jantan tanduk tiga (Chalcosoma Moellenkampi) paling mudah menarik perhatian penyelidik kerana warnanya yang hitam berkilat. Bagi pengkaji yang membuat kajian tentang lumut dan paku pakis pula, kaedah yang digunakan agak memenatkan kerana mereka terpaksa menyusuri atau mengharungi sungai serta meredah hutan untuk memperolehi apa yang dihajati.

Pensyarah di IBTP UMS, Dr Idris Mohd Said memilih paku pakis sebagai bahan kajiannya kerana keunikan tumbuhan itu.

"Paku pakis ini ada yang bertindak sebagai parasit dan pemusnah tapi ada juga yang hanya sekadar menjadi penumpang. Sifatnya yang unik itulah yang menarik minat saya untuk mengkajinya," katanya.

Dr Idris berkata ada juga spesis paku pakis yang boleh digunakan untuk perubatan seperti paku "Tunjuk Langit" (Helmintho Stachys Zeylanica) yang biasa digunakan oleh penduduk kampung berhampiran yang tahu khasiatnya.

"Dalam hutan ini belum lagi saya temui spesis itu tetapi spesis biasa seperti resam dan yang selalu dijadikan perhiasan seperti "Tanduk Rusa" memang mudah ditemui," katanya.

REDAH HUTAN DAN DAKI GUNUNG

Sementara itu bagi kumpulan yang mengkaji lumut pula mereka terpaksa menyusur laluan berbatu dan lembap di sepanjang Sungai Meliau serta meredah hutan hingga ke puncak gunung untuk memperolehi spesimen yang dikehendaki.

"Sebanyak 900 jenis lumut daripada pelbagai spesis terdapat di hutan tanah tinggi dan tanah rendah di Sabah. Bidang kajian kita meliputi habitat dan kegunaan lumut sebagai sumber ekosistem di hutan," kata seorang lagi Pegawai penyelidik FRC, Andi Maryani A Mustapeng.

Katanya ada jenis lumut yang mampu hidup di kawasan kering untuk satu tempoh yang lama setelah diambil daripada kawasan asalnya dan ada sesetengah daripadanya yang boleh hidup dan membiak di luar kawasan asalnya.

"Selalunya bila ada kajian seperti ini kami akan menemui spesis-spesis baru tetapi nisbah untuk menjumpai spesis baru dan yang telah sedia ada bergantung kepada keadaan sesuatu tempat," katanya.

Menurut Andi lumut yang cantik dan tebal mudah ditemui di kawasan lembap dan tinggi. Selain di batu-batu atau kayu mati lumut juga boleh hidup di pokok tetapi ia tidak secantik lumut yang hidup di tempat yang lembap.

Setiap spesimen yang diperolehi oleh kumpulan itu akan dibawa ke pusat Herbarium Sandakan untuk proses mengenalpasti spesis. Menurut penganjur semua hasil kajian pada kali ini akan dibentangkan pada satu bengkel yang akan berlangsung pada bulan Mac depan.

Bagi sesetengah penyelidik seperti Tony Lamb, kajian yang dijalankan itu bertujuan menambah koleksi sendiri untuk menghasilkan buku ilmiah yang bakal memaparkan pelbagai rahsia yang terpendam di Banjaran Meliau.

[ Back ] [ Print Friendly ]