Press Articles

Title: 213 kg ikan asing Tasik Kelana Jaya dipancing
Date: 18-Oct-2004
Category: River Care Programme
Source/Author: Berita Harian
Description: KELANA JAYA: Seramai 218 peserta menyertai ‘Kempen Selamatkan Spesies Ikan Tempatan’ bagi memancing ikan asing termasuk tilapia hitam, kerapu lombong, keli Afrika, flower horn, peacock bass dan bandaraya.

Hasil kempen lima jam itu, seberat 213.934 kilogram ikan asing dapat didaratkan. Kempen itu dianjurkan oleh Persatuan Memancing Malaysia (PeMM), Global Environment Centre (GEC), Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Friends Of Kelana Jaya, Pure Fishing Sdn Bhd dan Gemilang Event untuk memerangi spesies ikan asing di Tasik Bandaran Kelana Jaya, Ahad lalu.

Kini wilayah jajahan ikan asing menular ke serata tanah air sekali gus kehadirannya akan memudaratkan ekosistem perairan negara dan spesies itu dikhuatiri mengambil alih tempat ikan tempatan sekali gus menguasai sepenuhnya perairan berkenaan suatu hari nanti.

“Matlamat pertandingan ini tercapai kerana tujuan kami ialah untuk mengeluarkan seberapa banyak ikan asing yang ada dalam tasik ini,” kata Pegawai GEC, Suzana Mohkeri.

Juara, Irwan Azmin Kamarudin dari Ampang, menggondol hadiah utama wang tunai RM3,500 dengan tangkapan keseluruhan 14.490 kilogram. Naib juara, Razman Abu Hasan, dengan tangkapan seberat 14.005 kilogram membawa pulang wang tunai RM1,000. Tempat ketiga RM500 menjadi milik Omar Zahir Hussin dengan jumlah tangkapan 10.960 kilogram.

Hadiah misteri dimenangi Mohd Naim Abdul Hakim setelah memancing tiga ikan patin dalam lingkungan 5 hingga 15 kilogram dan dilepaskan semula ke tasik kerana tidak dipertandingkan.

[ Back ] [ Print Friendly ]