Bersedia hadapi banjir

MUAR 5 Mei – Program River Rangers Komuniti Pagoh yang digerakkan sejak dua tahun lalu berjaya memupuk kesedaran lebih 280 ahlinya yang merangkumi murid sekolah bersama memulihara kepentingan sungai di kawasan berkenaan.

Program yang bertitik-tolak daripada bencana banjir luar biasa pada 2006 dan 2007 itu juga telah melatih ahli-ahlinya untuk bersedia bertindak memberi bantuan sekiranya berlaku banjir.

Bagi memastikan aktiviti komuniti yang diselia pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Environment Centre (GEC) itu dapat dijalankan secara lebih berkesan, sebanyak dua bot diserahkan kepada kelab berkenaan baru-baru ini.

Dua buah bot itu disampaikan oleh dua NGO yang turut mengambil berat mengenai kepentingan alam sekitar iaitu yayasan The Force of Nature (FON) serta Kelab Porsche Malaysia.

Menurut Pengerusi River Rangers Komuniti Pagoh, Rahmat Sari, pihaknya telah mengatur pelbagai program bagi membentuk kesedaran para penduduk untuk menjaga kepentingan sungai terutamanya di peringkat kanak-kanak.

“Kita berharap para penduduk dapat bersama-sama mencintai sungai di kawasan ini dan mengelak membuang sampah ke dalam sungai.

“Kami juga telah mengadakan program gotong-royong di kawasan pesisiran sungai dan respons yang diterima amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Rahmat, sumbangan dua buah bot kepada pihaknya itu amat dialu-alukan kerana ia berguna kepada para penduduk terutamanya dalam menghadapi situasi banjir.

“Banjir yang berlaku pada 2006 dan 2007 lalu menyaksikan paras air sehingga dua meter di kawasan ini.

“Dengan adanya kelengkapan bot, kita harap dapat lebih bersedia kerana terdapat sebanyak 19 kampung di Pagoh yang perlu dijaga,” katanya.

Menurutnya, pemasangan sistem amaran banjir yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sungai Pagoh juga akan dapat membantu para penduduk untuk lebih bersedia.

Rahmat yang juga Ketua Kampung Parit Raja, Pagoh, berkata, pihaknya amat berbangga kerana Komuniti Pagoh telah dipilih GEC sebagai projek perintis program River Rangers.

“Biarpun program ini telah tamat pada Disember tahun lalu, banyak kemudahan serta bantuan yang kami terima dan saya percaya kesedaran para penduduk mengenai kepentingan sungai mampu ditingkatkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

You may also want to read: