PETALING JAYA 24 Mei – Dalam usaha memulihkan sungai, mendidik mentaliti penduduk agar menjaga kebersihan sungai di persekitaran mereka sangat penting dan perlu dilaksanakan oleh semua pihak.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Roslan Sakiman berkata, ia merupakan langkah awal dalam mendidik masyarakat agar tidak membuang sisa sampah ke dalam sungai sehingga menyebabkan pencemaran berlaku.
Katanya, pelbagai program perlu diadakan dengan melibatkan komuniti agar mereka lebih terdedah dengan pengetahuan dan kepentingan penjagaan sumber air itu.
“Kebiasaannya masyarakat tidak mengetahui kepentingan menjaga sungai sehingga menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab dalam menjaga kebersihannya.
“Justeru, kerjasama kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam mendedahkan pengetahuan dan mendidik mentaliti masyarakat amat penting dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh mendekatkan masyarakat dengan sungai,” katanya ketika merasmikan Karnival Sungai di PJS 6 Petaling Jaya di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Majlis Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Halimey Abu Bakar.
Hadir sama pada majlis itu Pengarah Global Environment Centre (GEC), Faisal Parish dan Pengerusi Yayasan GAB, Tan Sri Saw Huat Lye dan Pengarah Eksekutif Circle Field Sdn. Bhd, Hisham Johar.
Program Pemulihan Sungai Way yang diberi nama Working Actively Through Education and Rehabilation (WATER) itu adalah anjuran kerjasama Yayasan GAB, GEC, MBPJ dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Daerah Petaling yang bertujuan memulihara Sungai Way serta mengembalikannya menjadi sungai yang bersih dan hidup.
Ia merupakan program julung kalinya diadakan serta melibatkan komuniti setempat bagi memberi kesedaran dalam mendidik mereka untuk menjaga kebersihan sungai.
Pelbagai acara telah disediakan seperti permainan alam sekitar, aktiviti karnival sungai, river hunt, pelepasan EM Jus, balingan bebola lumpur, aktiviti menanam pokok dan aktiviti pembersihan sungai.
Sementara itu, Huat Lye berkata, Sungai Penchala dipilih sebagai sungai pertama untuk program WATER dalam usaha memulihkan sungai di kawasan bandar.
“Sungai Way sepanjang empat kilometer ini merupakan anak sungai kepada Sungai Penchala yang terlibat dalam program pemuliharaan itu, jadi ia turut akan dipulihara.
“Sejak program tersebut dilancarkan tiga tahun yang lalu, sebanyak RM150,000 telah diperuntukkan bagi memulihara sungai tersebut terutamanya dalam penganjuran aktiviti yang dapat mendidik penduduk sekitar sungai itu,” jelasnya.