GEC Media Release

Pencapaian cemerlang komuniti tempatan dan pihak berkepentingan melestarikan Sungai Kinta

IPOH, Perak, 27 September 2024: Sempena sambutan Hari Sungai Sedunia 2024, seramai hampir 120 orang komuniti tempatan dan pihak berkepentingan telah diraikan semalam melalui Majlis Penganugerahan dan Pengiktirafan Penjagaan Sungai, Tadahan Sungai Kinta (TSK), anjuran bersama  Global Environment Centre (GEC) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak, dengan sokongan Yayasan Hasanah (YH).

Komuniti tempatan dan pihak-pihak berkepentingan (pemain industri, universiti, agensi dan orang awam)  tersebut telah diperkasakan melalui Projek Pengawasan Kelestarian Tadahan Sungai Kinta melalui Amalan Hidup Hijau sejak tahun 2021 yang dilaksanakan oleh GEC dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan dibiayai oleh Yayasan Hasanah (YH).

Majlis Penganugerahan dan Pengiktirafan ini dilaksanakan untuk memberi penghargaan dan mengiktiraf pencapaian mereka atas usaha memastikan kelestarian kawasan TSK melalui inisiatif-inisiatif perlindungan, penjagaan dan pematauan sungai serta melalui amalan hidup hijau seperti sungai angkat, kebun komuniti, eko-pelancongan dan lain-lain.

Tujuan utama projek Pengawasan Kelestarian Tadahan Sungai Kinta melalui Amalan Hidup Hijau adalah bagi mencapai status sihat untuk seluruh Tadahan Sungai Kinta bagi jangka masa panjang. Oleh itu, beberapa dokumen serta panduan telah dibangunkan seperti Community-based Kinta River Basin for Integrated River Basin Management (CBKRB-IRBM), Kinta River Health Target (KRHT) dan River Health Index (RHI) bagi tujuan membantu pengurusan bersepadu tadahan Sungai Kinta melalui pendekatan bottom-up.

Dr Kalithasan Kailasam, Pengurus Program Penjagaan Sungai GEC, berkata, “Kami menerapkan empat komponen utama dalam pelaksanaan projek ini, iaitu parameter fizikal, parameter kimia, parameter biologi dan juga parameter penglibatan komuniti. Kesemua komponen ini dapat diterapkan melalui pemerkasaan komuniti tempatan dan pihak-pihak berkepentingan dengan memberi kesedaran dan melatih mereka dengan pengetahuan dan kemahiran berkenaan pemantauan sungai dan amalan pengurusan terbaik berkonsepkan amalan hidup hijau.“

Pengarah JPS Negeri Perak, Kol. Bersekutu (PA) Ir. Ts. Ahmad Shahrir bin Md. Naziri, S.M.P.,A.A.P. berkata, “JPS amat mengalu-alukan lebih banyak kumpulan komuniti, KRT atau pihak berkepentingan seperti universiti untuk menjadikan sebahagian jajaran sungai sebagai sungai angkat mereka. Usaha sebegini mampu memberikan kesedaran untuk memelihara dan melindungi kawasan sungai yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.”

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, YB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin yang telah merasmikan majlis ini berkata, “Sungai Kinta merupakan sungai utama di Perak dan menyediakan sehingga 80% sumber air kepada penduduk di Ipoh dan kawasan sekitarnya. Oleh itu, penghargaan dan pengiktirafan seperti ini kepada komuniti tempatan dan pihak berkepentingan yang telah menyumbang kepada kelestarian Sungai Kinta adalah sangat penting sebagai motivasi dan pembakar semangat bagi mereka untuk terus menjaga Sungai Kinta.”

Terdapat dua kategori bagi Penganugerahan dan Pengiktirafan Penjagaan Sungai, TSK. Kategori yang pertama adalah Anugerah Komuniti Sungai Terbaik TSK di mana pemenang-pemenang telah membawa pulang wang tunai sehingga RM3,000 berserta trofi dan sijil anugerah. Kategori yang kedua adalah penyerahan trofi dan sijil penghargaan bagi Pengiktirafan Pihak Berkepentingan seperti universiti, pemain industri, jabatan/agensi dan badan bukan kerajaan yang telah memainkan peranan penting dalam perlaksanaan projek. Selain itu, Penghargaan Individu juga turut disampaikan bagi menghargai individu yang telah memberikan komitmen padu bersama GEC dalam melestarikan Sungai Kinta.

Berikut adalah senarai penuh bagi pemenang kategori pertama:

  • Juara: Koperasi Kampung Orang Asli Sungai Tonggang Berhad (KKOASTB)
  • Naib Juara: KRT Taman Chemor Idaman
  • Tempat Ketiga: KRT Sungai Terap
  • Saguhati: KRT Buntong 3&4 dan KRT Klebang Selatan
  • Anugerah Komuniti Berpotensi: KRT Taman Iskandar Perdana 1,2,3,4

Berikut pula adalah penerima Anugerah Penghargaan Individu:

  • Mohammad Bakri bin MD Taharim, Pengerusi KRT Pengkalan Gate
  • Noor Sarina binti Mohd Kassim, Setiausaha KRT Taman Tasek Jaya
  • Pravin Saraspathy, Jiran Muda KRT Buntong 3&4

TAMAT

You may also want to read: