GEC Media Release

Tujuh Tahun Pemuliharaan Hutan Paya Laut Perkasa Enam Komuniti Setempat

Gambar berkumpulan bersama semua tetamu kehormat, peserta, kumpulan komuniti, rakan kerjasama dan penganjur semasa Majlis Perasmian Penutupan.

SUNGAI PETANI, 8 September 2026: Global Environment Centre (GEC) dan Yayasan Sime Darby (YSD) meraikan kejayaan tujuh tahun Program Pemuliharaan Hutan Paya Laut dan Komuniti Berdaya Tahan yang telah memperkasa komuniti setempat untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memulihara, mengurus dan melindungi ekosistem hutan paya laut di kawasan masing-masing.

Sejak tahun 2020, selain komitmen YSD sebanyak RM5.7 juta, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) turut menyalurkan geran padanan berjumlah RM1 juta melalui YSD bagi menyokong pelaksanaan program ini. Sokongan ini telah memperluaskan usaha pemuliharaan hutan paya laut, pembangunan kapasiti dan sumber pendapatan komuniti serta pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr. Hjh. Yatela Zainal Abidin berkata, “Sepanjang pelaksanaan program ini, kami menyaksikan bagaimana usaha pemuliharaan dapat diperkasakan apabila komuniti dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang untuk terlibat secara langsung dalam menjaga ekosistem di kawasan mereka. Ilmu, kemahiran dan semangat komuniti telah menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan kehidupan mereka sendiri.

“Walaupun program ini kini melabuhkan tirainya, kami berharap legasi yang dibina akan terus berkembang. Semoga enam komuniti ini dapat meneruskan usaha memulihara hutan paya laut sambil menjana pendapatan yang mampan, serta menjadi inspirasi bahawa pemuliharaan alam dan kesejahteraan komuniti boleh bergerak seiring demi masa depan generasi akan datang,” kata beliau.

Sepanjang tujuh tahun, program ini memberi tumpuan kepada pemulihan hutan paya laut, pembangunan kapasiti dan sumber pendapatan komuniti serta pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Sepanjang pelaksanaan program, beberapa pencapaian utama telah direkodkan, antaranya:

  • Penanaman 54,000 pokok bakau dan 7,250 pokok penggantian oleh komuniti setempat di kawasan seluas 26.6 hektar dengan kadar kemandirian antara 75 hingga 85 peratus;
  • Pembangunan 4 produk minumam berasaskan bakau (Jeruju dan Berembang) seperti Mangrove Brew dan Tea Tide, yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia serta pensijilan halal, sekali gus menjana pendapatan jualan terkumpul RM80,000 melalui penghasilan 10,000 unit produk kepada enam komuniti terlibat;
  • Penglibatan 149 sekolah dalam program pendidikan dan kesedaran ekosistem hutan paya laut, melibatkan lebih 2,000 pelajar dan 400 orang guru;
  • Penganjuran 284 sesi perkongsian ilmu yang disertai lebih 7,860 peserta untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan hutan paya laut dalam kalangan komuniti; dan
  • Pewartaan kawasan hutan paya laut Kuala Gula seluas 351.58 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal Negeri Perak sebagai legasi kekal program ini.

Pengarah GEC, Tuan Faizal Parish berkata, “Pencapaian yang paling bermakna bagi GEC ialah perubahan yang berlaku dalam komuniti itu sendiri. Pelbagai aktiviti pemerkasaan telah dilaksanakan di bawah program ini. Komuniti yang dahulunya hadir sebagai peserta kini telah berkembang menjadi peneraju pemuliharaan yang berdikari. Mereka mampu merancang, melaksanakan dan memimpin inisiatif pemuliharaan di kawasan masing-masing. Model pemuliharaan berasaskan komuniti ini turut menarik perhatian di peringkat serantau dan telah menjadi inspirasi kepada komuniti-komuniti di beberapa negara ASEAN termasuk Indonesia, Vietnam dan Thailand,” tambah beliau.

Majlis Perasmian Penutupan Program ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Hj. Mohamad Yusoff @ Munir Hj. Zakaria, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Dalam ucapan perasmiannya, YB. Dato’ Hj. Mohamad Yusoff @ Munir Hj. Zakaria berkata, “Program ini selari dengan Teras 6 Kemampanan Alam Sekitar di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035, membuktikan bahawa pemuliharaan ekosistem yang berkesan hanya dapat dicapai melalui kerjasama pintar antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan.

“Inisiatif yang dilaksanakan bersama Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Taman Nilam (PSHBKTN) turut selaras dengan Projek Penanaman 2.2 Juta Pokok yang merupakan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Projek tersebut menyasarkan penanaman pokok bersamaan jumlah penduduk negeri Kedah bagi memelihara dan memulihara ekosistem negeri dalam tempoh lima tahun, dari 2025 hingga 2030,” kata beliau.

PSHBKTN telah menanam sebanyak 5,000 pokok bakau minyak (Rhizophora apiculata) di kawasan seluas 2.5 hektar di Kompartmen 10, Hutan Simpan Merbok di Sungai Petani dengan kadar kemandirian mencapai 75%.

Dalam ucapan aluannya, Puan Ramlah binti Hasan, Pengerusi PSHBKTN berkata, “Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha gigih ahli-ahli pertubuhan kami, terutama golongan muda. Dahulu kami tidak begitu mengetahui tentang pemuliharaan, tetapi kini kami sudah mempunyai lebih banyak pengetahuan dan keyakinan. Kami juga belajar mengurus persatuan, bekerja secara berkumpulan, merancang aktiviti dan berkongsi pengalaman dengan komuniti lain. Ini adalah satu bentuk ilmu yang sangat berharga kerana ia akan kekal bersama komuniti walaupun program ini telah tamat,” tambah beliau.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video “YSD Project Journey” serta pelancaran dua penerbitan, iaitu Modul Tapak Semaian dan Buku Kenangan Program 2023 hingga 2026. Modul tersebut menyediakan panduan penyemaian benih bakau untuk kegunaan komuniti, manakala Buku Kenangan Program mendokumentasikan perjalanan serta impak inisiatif ini merentasi enam kawasan projek.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada kumpulan komuniti sebagai tanda pengiktirafan atas komitmen, dedikasi dan sumbangan mereka dalam menjayakan program sepanjang tujuh tahun pelaksanaannya.

Enam pertubukan komuniti yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kejayaan program ini ialah:

  • Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Taman Nilam (PSHBKTN), di Hutan Simpan Merbok, Kedah;
  • Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula (PSHBKG) di Kuala Gula, Perak;
  • Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Pasir Panjang Laut (PSHBPPL) di Pasir Panjang Laut, Perak;
  • Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Dato’ Hormat (PSHBKDH) di Tebuk Mendeleng, Sabak Bernam, Selangor;
  • Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Pulau Tanjung Surat (PSHBPTS) di Tanjung Surat, Johor; dan
  • Kelab Komuniti Bakau Parit Jawa (KKBPJ) di Muar, Johor.

TAMAT

Transformasi ketara di tapak pemuilhan Tebuk Mendeleng, Kampung Dato’ Hormat, Sabak Bernam, Selangor: daripada kawasan yang sebahagian besarnya gondol dan terosot pada tahun 2023 kepada kawasan hutan bakau muda yang subur pada tahun 2026, menunjukkan hasil usaha penanaman dan pemuliharaan berasaskan komuniti yang dilaksanakan secara berterusan.

 

Gambar dari udara sebelum dan selepas di tapak pemulihan komuniti pada tahun 2023 dan 2026 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak, yang menunjukkan perkembangan ketara litupan hutan paya laut hasil usaha kolektif komuniti di sepanjang pesisir pantai.